Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Gerakan Mertabat Pejuan Negara Malaysia (GMPN), Mej.(B) Razali Zakaria (tiga kanan) pada sidang media dan laporan polis berkaitan isu kenyataan ahli Dap, Amran Ahmad bahawa Tony Pua adalah Ketua Biro Perancang fitnah dan hasutan untuk menghuru-harakan negara melalui media sosial bertempat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 MEI 2018.
KUALA LUMPUR – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera terhadap pemimpin DAP, Tony Pua yang didakwa menjadi dalang utama kepada penyebaran berita palsu dan video propaganda di laman media sosial.

Jurucakapnya, Presiden Gerakan Memartabat Perjuangan Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pendedahan ahli DAP, Amran Ahmad Noor mengenai perkara tersebut tidak boleh diambil mudah dan pihak berkuasa perlu menyiasat Tony Pua kerana penyebaran propaganda itu boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara.

“Dia telah melakukan satu cara sistematik untuk memfitnah kerajaan Malaysia dan pemimpin negara untuk menghancurkan negara serta menimbulkan kebencian rakyat secara fitnah, hasutan dan harapan palsu.

“Itu kerja dia, kalau tengok dalam media sosial pelbagai propaganda menggila dengan fitnah tidak berfakta dan berasas terutama sejak dua tiga hari lepas menjelang PRU-14.

“Ini amat berbahaya kepada negara kerana cara mereka ala-ala propaganda komunis dan subversif,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Presiden Pertubuhan Gerakan Mertabat Pejuan Negara Malaysia (GMPN), Mej.(B) Razali Zakaria pada sidang media dan laporan polis berkaitan isu kenyataan ahli Dap, Amran Ahmad bahawa Tony Pua adalah Ketua Biro Perancang fitnah dan hasutan untuk menghuru-harakan negara melalui media sosial bertempat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 MEI 2018.

Razali mengulas pendedahan Amran selaku penolong penerbit UbahTV iaitu televisyen rasmi dalam talian DAP pada Sabtu lepas bahawa DAP akan mengedarkan puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Amran mendakwa, Tony Pua selaku Ketua Propaganda Media Sosial DAP telah pun mengedarkan semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsur fitnah secara berperingkat menjelang hari pengundian esok.

Antara fitnah yang dan akan disebarkan pakatan pembangkang itu ialah isu 1Malaysia Develeopment Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji.

Sementara itu, Presiden Sahabat Ulul Amri Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz pula menggesa jentera BN di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan agar menaikkan ‘bendera hitam’ untuk memerangi fitnah jahat DAP itu.

Presiden Pertubuhan Sahabat Ulul Amri, Syed Mohamad Imran pada sidang media dan laporan polis berkaitan isu kenyataan ahli Dap, Amran Ahmad bahawa Tony Pua adalah Ketua Biro Perancang fitnah dan hasutan untuk menghuru-harakan negara melalui media sosial bertempat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 MEI 2018.

“Saya memohon agar seluruh akar umbi pihak kerajaan BN naikkan panji hitammu di seluruh PDM-PDM atau di cawangan untuk kita bertempur perang terhadap DAP.

“Saya tidak bercakap tentang Cina, India, atau Melayu, saya bercakap soal DAP kerana fitnah ini datang daripada DAP dan saya mohon PDRM atau SKMM agar mengambil satu tindakan terhadap mereka,” katanya.

Presiden Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat, Syed Rosli Jamalullail pula berkata, pendedahan Amran itu merupakan perkara serius kerana kerja-kerja propaganda berbaur fitnah dan hasutan yang didalangi Tony Pua itu dimulakan sejak lima tahun lalu.

“Kenyataan Amran Ahmad dalam Utusan Online menjelaskan Tony Pua adalah perancang utama serangan fitnah dan hasutan jahat kepada pemimpin-pemimpin kerajaan terutamana Perdana Menteri serta mencetuskan suasana tegang dan huru-hara kepada negara.

“Amran antara orang yang bertanggungjawab dalam UbahTV dan propaganda DAP telah bermula sejak PRU13 dan selama lima tahun mereka membuat serangan terhadap pemimpin negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast