Razali Ismail

KUALA LUMPUR – Biarpun tidak dibenarkan memantau proses pilihan raya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tetap menjalankan pemantauan pengendalian pilihan raya bermula hari penamaan calon.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah jentera bagi rakyat yang dimandatkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pemudah cara proses pilihan raya yang bebas dan adil dan seharusnya tidak mengambil tindakan yang boleh didakwa sebagai partisan dan selektif.

Menurutnya, Suhakam akan memberi perhatian terhadap persoalan-persoalan ini pada masa akan datang dan menyeru agar SPR disusun semula dengan mengambil kira amalan
keseluruhan di tempat lain.

Malaysia berada di kedudukan 125 daripada 197 negara di seluruh dunia dalam Indeks Kebebasan Pilihan Raya Dunia 2018.

Suhakam percaya keselarasan dalam arena ini terkesan dengan keraguan terhadap penolakan calon yang tidak layak bertanding dan pengagihan wang serta hadiah, yang mana ia berlaku di dalam lingkungan undang-undang Malaysia tetapi telah lama ditolak oleh banyak negara demokrasi.

Pelaksanaan persempadanan semula juga sebagai pelanggaran dasar prinsip pilihan raya demokratik yang melambangkan ketidakseimbangan.

“Suhakam dimaklumkan pelbagai kes berlaku, yang mana terdapat usaha untuk mengurangkan jumlah mereka yang mempunyai hak untuk mengundi dan aduan berkenaan undi pos yang masih belum diterima 48 jam sebelum pilihan raya serta percanggahan-percanggahan lain,” kata Razali.

Katanya, rakyat Malaysia berhak untuk melaksanakan hak mereka untuk bebas mengundi
memandangkan ia adalah hak wargacnegara. – MalaysiaGazette