Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang media selepas majis angkat sumpah di Alor Setar hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang media selepas majis angkat sumpah di Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menggesa supaya pembangkang dapat memainkan peranan secara matang bagi memastikan kelicinan pentadbiran kerajaan negeri.

Mukhriz mengalu-alukan kerjasama yang baik dengan pembangkang di Kedah bagi memastikan segala rancangan untuk memajukan dan membawa pembangunan dapat dilaksanakan.

“Pembangkang di Kedah, tak kira Pas dan Barisan Nasional perlu main juga peranan sebagai pembangkang yang berkesan di Kedah dan harap mereka dapat memainkan peranan dengan matang.

“Saya harap tak banyak penentangan antara kerajaan negeri dengan pembangkang,” kata beliau dalam sidang media hari ini di Hotel Tabung Haji hari ini.

Mukhriz menyatakan kesediaan untuk mendengar semua teguran daripada pembangkang demi membawa kebaikan bersama untuk rakyat jelata di Kedah.

“Kita bersama nak majukan negeri yang kita cintai, apa sahaja teguran pembangkang kami akan terima dengan baik,” ujarnya.

Seterusnya, Mukhriz akan berbincang untuk melantik 10 barisan exco kerajaan negeri dan juga speaker bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

Dalam pada itu mengenai spekulasi kemungkinan ada pemimpin daripada BN mahu pun Pas yang hendak ‘menyeberang’ bersama Pakatan Harapan, beliau mengalu-alukan langkah mereka.

“Setakat ini belum ada, tapi jika benar kami mengalu-alukan,” katanya lagi.

Mukhriz mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit kira-kira 4 petang tadi yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut bersama semasa istiadat angkat sumpah tersebut.

Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah Ke-13 menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang tersingkir selepas tewas dalam pilihan raya umum baru-baru ini. – MalaysiaGazette