KLANG – Pemilihan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baharu hanya akan dimuktamadkan selepas satu perbincangan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum Isnin ini.
Bagaimanapun Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak PKR akan meminta lebih daripada empat jawatan Exco berbanding penggal lalu.
“Kita ada 10 jawatan Exco Selangor, pada masa ini empat daripadanya untuk PKR, tiga untuk DAP dan tiga untuk Pas.
“Kita harap PKR boleh dapat lebih kerusi tapi ia bergantung kepada perbincangan dengan rakan-rakan PH lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Menteri Besar di Balairong Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.
Kabinet Selangor penggal ke-14 kali ini bakal menyaksikan penyertaan sepenuhnya wakil parti komponen PH yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada Rabu.
Komposisi barisan Exco Selangor bakal menyaksikan ketiadaan wakil Pas susulan parti itu bersendirian dalam PRU14 dan mewujudkan Gagasan Sejahtera.
Antara tiga Exco Pas pada penggal ke-13 lalu ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus dan Zaidy Abdul Talib.
Mohamed Azmin berkata lagi, beliau akan menemui semua pemimpin parti komponen PH negeri itu pada Ahad ini bagi mengadakan rundingan mengenai pelantikan Exco Selangor itu.
“Saya perlu berbincangan dengan parti komponen PH berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi setiap parti, kita akan berbincang apa yang terbaik penuhi kerusi itu untuk PH.
“Ini kerana kita perlu bekerja sebagai pasukan dalam PH dan saya percaya kita akan capai konsensus sebelum Isnin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















