Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali

PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali enggan mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi bayangan tentang pemecatannya.

“Adalah lebih baik saya tidak komen. Terima kasih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada sidang media di Petaling Jaya hari ini, perdana menteri berkata Mohamed Apandi akan disiasat mengenai pembabitannya dengan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan akan menyiasat beberapa orang tertentu yang mungkin terlibat dalam salah laku atau membuat keputusan yang salah semasa berada dalam kerajaan itu.

“Buat masa ini, kita tak ada peguam negara. Kira sedang menimbang beberapa nama tetapi kita perlu mengkaji kesesuaian calon-calon itu,” kata Dr Mahathir.

Terdahulu, Dr Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan mengadakan Mesyuarat Majlis Presiden bagi menamakan menteri-menteri yang akan menganggotai 10 kementerian yang diumumkan sebelum ini.

— BERNAMA