Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak akan membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga akan mengambil kira pelbagai pandangan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat mengenai kedudukannya.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebarang keputusan saya itu akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti yang paling banyak kerusi di Parlimen terus kekal utuh agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya dalam laman Fecebook beliau.

Dipercayai bekas Perdana Menteri itu memuat naik kenyataan tersebut sebelum beliau dimaklumkan mengenai tindakan Jabatan Imigresen menyenarai hitamkan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta menghalang mereka meninggalkan negara.

Berikutan itu, Najib terpaksa membatalkan rancangan untuk mengambil cuti singkat yang dirancangkannya itu.

Menurut Najib, sekembalinya ke tanah air minggu depan, beliau akan memaklumkan keputusan tersebut dan perancangan masa depannya.

Sepanjang tempoh tersebut, Najib memohon semua ahli UMNO dan BN bertenang dan tabah serta terus menguatkan ikatan terutama dalam suasana politik yang mencabar.

“Sebarang keputusan yang saya akan buat nanti, hanyalah untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional agar kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat.

“Saya yakin UMNO dan Barisan Nasional dapat mengembalikan kekuatan ini kerana sepanjang 60 tahun mentadbir negara, kita telah membuktikan kemampuan kita berkhidmat kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambah Najib, ahli BN kena redha dengan ketentuan Allah dan melihat semua yang berlaku ada hikmah. – MalasiaGazette