Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Berkotak-kotak barang bukti dimuat masuk ke dalam lima trak polis dalam operasi yang dijalankan di salah sebuah kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pavillion Residences, Bukit Bintang.

Orang ramai mengambil kesempatan untuk merakam kenderaan trak anggota polis yang membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang di rampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

Operasi diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bermula sejak jam 12 malam tadi.

Kotak berwarna oren dipunggah masuk ke dalam trak polis dengan setiap kotak ditampal dengan gambar.

Difahamkan sekumpulan pegawai dan anggota polis sedang mengira wang tunai dan mengumpul barang bukti dipercayai milik pemimpin tersebut.

Operasi polis bermula sejak semalam apabila serbuan dijalankan di rumah Najib terletak di Langgak Duta. 

Sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur turut menjadi lokasi serbuan polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini. – MalaysiaGazette