Akhbar Satar
Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota Kabinetnya perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Datuk Akhbar Satar berkata, langkah itu disaran supaya mengisytiharkan harta terus kepada SPRM bagi menentukan ketelusan dan akauntibiliti.

“Adalah lebih baik jika proses tersebut merangkumi pasangan masing-masing dan ahli keluarga terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM pula hendaklah mengisytiharkan harta kepada Parlimen.

“Ini adalah perlu sebagai langkah pertama, sebelum PM dan anggota Kabinet serta Ketua-Ketua Institusi mengisytiharkan harta secara terbuka melalui online.

“Pada masa ini, anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, manakala ketua di kementerian dan jabatan termasuk Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan anggota tertinggi di dalam perkhidmatan awam mengisytiharkan harta mereka kepada Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Pengisytiharan harta kepada SPRM katanya, hendaklah dilakukan sebelum dan selepas memegang sesuatu jawatan dengan analisis nilai bersih dilakukan secara berkala setahun sekali. – MalaysiaGazette