Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menurunkan tandatangan pada nota kerja sebelum memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2018.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menurunkan tandatangan pada nota kerja sebelum memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Mohamad Sabu berjanji tidak mahu mengubah gayanya yang sudah dikenali sebelum ini meskipun berhadapan perubahan hidup baru sebagai Menteri Pertahanan.

Nervous (gementar)… sebab saya selalu hidup dengan masyarakat dan sekarang kena ikut rules (peraturan) dan protokol kena adapt (sesuaikan diri) dengan the new life (kehidupan baru).

“Tetapi saya tak nak ubah Mohd Sabu style (cara),” katanya berseloroh disambut oleh tawa daripada media.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau kini perlu berhati-hati dalam dua perkara iaitu menjaga fakta ketika bertutur.

Selain itu, katanya, sensitiviti dan perasaan negara jiran juga perlu diambil kira kerana setiap tutur katanya akan menjadi perhatian kawan dan lawan.

Kerana itu, katanya, beliau tidak mahu bertindak semborono daripada apa yang didengarnya.

Malah, katanya, beliau tidak mahu bertindak sekadar ‘dengar cakap’ tanpa menjalankan penyelidikan dan bukti yang sah bagi mengelak sebarang kesan negatif kepada Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, di peringkat kementerian, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Terdahulu, Mohamad memulakan tugas pertamanya sebagai Menteri sebaik tiba di Wisma Pertahanan pada jam 9.30 pagi.

Beliau menerima tabik hormat pada Kawalan Kehormatan Utama di Padang Kawad Dataran Wisma Pertahanan.

Kawalan Kehormat Utama membabitkan 106 pegawai dan lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny dari 1 Rejimen Askar Melayu DiRaja (1RAMD).

Mohamad kemudian mengadakan sesi perjumpaan bersama Abdul Rahim dan Raja Mohamed Affandi. – MalaysiaGazette