Tun Daim Zainuddin yang baru dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat kerajaan yakin bahawa pemerintah baharu mampu melaksanakan
GST

KUALA LUMPUR- Rancangan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan meletakkan penarafan kredit negatif kerana ia akan meningkatkan kebergantungan kerajaan kepada perolehan bersumberkan minyak.

Menurut Moody’s Investors Service, penghapuasan GST juga akan mengurangkan asas cukai dan menyebabkan kedudukan fiskal negara menjadi lemah.

Tambah firma tersebut, ramalan tersebut mungkin tidak berlaku sekiranya kerajaan memperkenalkan kaedah-kaedah lain untuk mengurangkan impak negatif penghapusan GST ke atas perolehan kerajaan.

“Dengan mengambil kira kestabilan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengambil kira unsur-unsur bermusim, kami menjangkakan kehilangan pendapatan kerajaan selepas menghapuskan GST adalah sekitar 1.9 peratus daripada KDNK tahun ini,” kata Presiden dan Penganalisis Kanan, Moody’s, Anushka Shah.

Jelasnya, sekiranya SST dilaksanakan pada Julai, kerugian pendapatan kerajaan akan dikecilkan kepada satu peratus berbanding KDNK tahun ini.

Sebelum GST diperkenalkan pada 2015, SST telah menyumbang sekitar 1.6 peratus berbanding KDNK manakala GST menyumbang kira-kira 3.3 peratus kepada kerajaan.

Katanya, kehilangan sumber pendapatan kerajaan itu memang boleh digantikan dengan minyak yang ketika ini berada di paras yang tinggi bagaimanapun beliau berpendapat ia bukan pengganti kekal untuk GST kerana harga minyak dunia sentiasa berubah-berubah.

“Disebabkan itu (harga minyak yang sentiasa berubah) menyebabkan Malaysia memperkenalkan GST bagi mengurangkan pergantungan kepada pendapatan berasaskan minyak dan ia terbukti berjaya,” katanya.

“Menurut kerajaan, rasional di sebalik penghapusan GST adalah untuk merangsang penggunaan swasta dan pertumbuhan ekonomi dengan menokok kepada kantung cukai menerusi penambahbaikan dalam cukai-cukai seperti korporat, kenderaan serta duti eksais dan import.

“Kami tidak memasukkan kesan-kesan tersebut (yang dinyatakan kerajaan) kerana kami tidak melihat sebarang kesan berganda yang bakal berlaku,” tegasnya.

Rabu lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan kadar GST sebanyak enam peratus dijadikan kosong peratus bermula 1 Jun ini dan memberi gambaran akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang pernah digunakan sebelum ini 2015. – MalaysiaGazette