Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Kesihatan di Pejabat Menteri, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan baharu, Dr Dzulkefly Ahmad komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan berjanji akan meneruskan mana-mana agenda serta polisi kerajaan dalam bidang kesihatan terdahulu seandainya memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagaimanapun, beliau bertegas akan menjalankan kajian serta penambahbaikan dalam polisi berkaitan sebelum meneruskan sebarang inisiatif sedia ada seperti pemerkasaan perkhidmatan dan keselamatan kesihatan.

“Inisiatif yang memberi manfat kepada rakyat kita sambung tetapi mungkin akan lakukan penambahbaikan selepas kajian mendalam terlebih. Yang penting, ianya demi dan untuk rakyat. Kesenangan serta harapan rakyat.

“Saya telah d beri taklimat oleh mantan, Datuk Seri Dr Subramaniam sebentar tadi tentang segala inisiatif serta transformasi kesihatan selama lima tahun kebelangkan ini. Ada yang kita boleh teruskan tetapi saya perlu lakukan kajian terlebih dahulu.

“Saya juga ingin rakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Subramaniam atas jasa beliau dalam mentransformasikan perkhidmatan kesihatan di negara ini, sudah tentu pelbagai cabaran tetapi saya berikrar untuk lakukan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah tugas antara Subramaniam dan beliau selaku Menteri Kesihatan yang baharu di Kementerian Kesihatan Putrajaya di sini hari ini.

Tambah Dzulkefly, kementerian beliau juga akan memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan serta beban kerja kakitangan profesional perubatan dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasinya nanti.

“Antara perjuangan utama saya ialah bajet yang lebih baik diperuntukkan kepada kementerian bagi melakukan pelbagai inisiatif serta penambahbaikan kerana yang terdahulu amat mengecewakan. Seperti yang dijanjikan, dalam tempoh 100 hari ini, sekurang-kurangnya kita akan ada hala tuju dan pelancaran transformasi kesihatan.

“Saya amat yakin dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed akan mendengar dan meneliti permintaan kita terutamanya apabila membabitkan bidang perkhidmatan kesihatan.

“Saya akan memastikan keutamaan betul diberikan pada peruntukan dana. Selain pendidikan dan perkara berkaitan pembangunan rakyat, kesihatan ialah satu daripadanya,” ujarnya.

Dzulkefly juga merancang memperkenalkan Skim Peduli Sihat yang dilaksanakan di Selangor ke seluruh negara bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Selain daripada itu, Majlis Penasihat Kesihatan akan ditubuhkan dalam masa 100 hari ini yang juga hanya akan diterajui oleh pimpinan bebas politik bagi memainkan peranan menasihat serta memantau Kementerian Kesihatan di negara ini.

“Kita akan letak mereka yang berkaitan dengan industri kesihatan awam dan swasta bagi memastikan industri perkhidmatan kesihatan di negara ini bertambah lebih baik seperti yang di janjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto sebelum ini,” ujarnya.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap semasa sidang media selepas Serah Terima Tugas Menteri Kesihatan di Pejabat Menteri, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018