Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang selepas perjumpaan pengurusan SPAD di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018
Anthony Loke Siew

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan akan melaksanakan e-bidding bagi menjamin ketelusan dan integriti proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan berbanding secara tender manual sekarang ini.

Anthony Loke berkata, pendekatan ini membolehkan capaian lebih luas kepada pengguna dan pemilik kenderaan berpeluang membida nombor kenderaan dari seluruh negara dengan lebih mudah.

Selain itu, katanya, kementerian tersebut tidak lagi akan memberi sebarang nombor pendaftaran kenderaan kepada mana-mana badan bukan kerajaan termasuk badan-badan kebajikan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi mengatasi pendekatan pengaplikasian automasi dalam semua peringkat proses ujian memandu.

Ia termasuk cadangan pemasangan ‘dashboard camera’ dalam kereta-kereta ujian bagi memastikan ketelusan ujian berkenaan.

Malah, semua institut sekolah memandu dikehendaki mempamerkan setiap caj yang dikenakan dalam resit bagi mengelakkan caj-caj tersembunyi.

Buat masa ini, harga siling ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan menetapkan sebanyak RM350 bagi lesen B2 (motosikal), RM1,150 bagi lesen D (motokar-manual) dan RM1,250 bagi lesen DA (motokar-auto).

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa tiada seorang pun kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan kehilangan pekerjaan.

Loke berkata, operasi SPAD akan berjalan seperti biasa dan diletakkan di bawah kementerian itu.

“Seperti pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mei lalu, saya ingin memberi jaminan tiada seorang kakitangan tetap SPAD akan kehilangan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, sebarang maklumat terkini berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette