Model memperagakan pakaian vendor yang terdapat di kedai Loka Malaysia pada Majlis Pembukaan Loka Malaysia bertempat di Nu Sentral, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – LOKA Malaysia sedang menjalankan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan sektor swasta untuk menyediakan pelbagai pelan pemasaan bagi membantu usahawan dalam mengembangkan perniagaan.

Beroperasi di tingkat satu di pusat beli-belah NU Sentral di sini gedung berkenaan yang diurus oleh syarikat Time Reveal Sdn. Bhd. bukan sahaja menjual pakaian malah, bermacam produk hasil keluaran Bumiputera.

LOKA Malaysia dan DPMM turut merangka pelbagai latihan pembangunan usahawan serta membantu mengembangkan jenama keluaran mereka.

Diasaskan oleh tiga wanita yang telah lama berkecimpung dalam bidang keusahawanan, LOKA Malaysia mampu menjadi salah sebuah daripada gedung yang dapat memikat hati mereka yang sukakan fesyen dan rekaan pakaian baharu.

Pengarah Eksekutifnya, Juliahayyu Mohamad berkata, LOKA Malaysia turut menjual produk daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, dengan kadar sewa yang berpatutan, para usahawan, vendor mahupun sesiapa mampu untuk memasarkan produk mereka di situ.

“Menerusi kadar sewa tapak vendor serendah RM500 sebulan, LOKA percaya ia dapat membantu meluaskan jenama tempatan di dalam gedung beli belah bertaraf lima bintang.

“Kita juga menampilkan golongan selebriti yang turut menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bagi membantu promosi usahawan-usahawan lain di dalam LOKA Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar dan pengenalan gedung tersebut di sini hari ini.

Pengurusan Loka Malaysia, (dari kiri) Norshamshilla Bakar, Juliahayyu Mohamad dan Azurawaty Amar.

Juliahayyu menambah, pihaknya berhasrat mahu menjadikan LOKA Malaysia sebagai hub membeli-belah terkemuka dan matlamat untuk mendapatkan 100 vendor terlibat di dalam gedung berkenaan akan tercapai.

Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan gedung tersebut akan mendapat kunjungan yang menggalakkan ekoran lokasi strategik pusat beli belah itu yang terletak di dalam NU Sentral dan sering dikunjungi ramai.

Ujarnya, sejak dibuka NU Sentral dikunjungi lebih 2.2 juta pengunjung pada setiap bulan dan angka itu bertambah 50 juta setiap tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azurawaty Amar berkata, beliau berhasrat mahu mengembangkan perniagaan gedung fesyen itu ke luar negara.

Pada masa ini katanya, sasaran awal untuk meneroka ke pasaran luar adalah dalam tempoh enam bulan hingga ke setahun.

Ujarnya, antara negara yang ingin ditembusi seperti China, Brunei, Thailand dan Filipina.

Model memperagakan pakaian vendor yang terdapat di kedai Loka Malaysia pada Majlis Pembukaan Loka Malaysia bertempat di Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, bagi negeri-negeri di semenanjung langkah mempromosikan gedung tersebut adalah dengan mengadakan road tour.

Sehubungan itu, beliau mempelawa golongan usahawan yang ingin bersama memasarkan produk bersama LOKA Malaysia agar menghubungi talian 03-22764128 atau 03-22764129 serta malayari Instagram @loka.malaysia atau di laman web www.goloka.my. – MalaysiaGazette