Gobind
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan Kerja ke Wisma Bernama di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan kritikan dan suara pembangkang penting dalam membina pemikiran yang matang.

Sehubungan itu, beliau akan menegakkan dasar bahawa media harus dilihat sebagai suara rakyat dan desakan agar kelemahan kerajaan dapat diperbaiki.

Katanya dalam hala tuju laporan berita, apa yang penting adalah nilai berita itu sendiri.

“Saya tidak menyokong penggelapan kandungan berita. Saya tahu apa rasanya berada di sana (sebagai pembangkang).

“Rakyat mencari maklumat. Jika media arus perdana tidak melaporkan, rakyat akan mencari di tempat lain. Hari ini sama ada suka atau tidak, media ada di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Berikutan itu, Gobind berkata, beliau menyokong laporan berita yang relevan dan ada kepentingan dengan isu sema ada.

Pada masa sama, katanya, kebebasan bersuara yang diberikan juga mempunya had.

Katanya, undang-undang sedia ada membolehkan tindakan dikenakan secara sivil atau jenayah bagi laporan berita yang disiarkan tidak benar.

“Kita akan tengok balik untuk jadikannya relevan dengan media hari ini. Kita juga tengok kalau boleh dibentangkan pada sesi pertama (Parlimen) 25 Jun depan dan harap kita akan dapat polisi yang kita boleh gunakan,” katanya. – MalaysiaGazette