Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan semula peranan sebenar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan Islam tidak lagi digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan mengumpulkan seberapa ramai ilmuan agama dan pihak berkepentingan untuk membincangkan peranan yang dibawa JAKIM.

“Kita akan ada satu kumpulan ulama atau orang berpengetahuan dalam bidang agama dan orang yang tiada pengetahuan untuk membincang peranan JAKIM dalam negara kita.

“Sama ada JAKIM akan dikekalkan seperti sekarang atau pun tujuan asalnya akan mula dihidupkan semula,” katanya pada sidang media di Perdana Putra di sini, hari ini.

Beliau mengulas ada cadangan pihak tertentu kepada Kerajaan PH supaya JAKIM dimansuhkan yang dilihat mahu mengambil kesempatan menjarakkan Islam dari negara pasca PRU-14.

Cadangan itu dipercayai datang daripada kelompok pejuang kebebasan bersuara, LGBT, liberal dan free thinker dengan alasa JAKIM dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya diletakkan di bawah raja Melayu dan menghabiskan duit kerajaan.

Mahathir berkata, banyak larangan dalam al-Quran tidak diendah dan dipatuhi umat Islam di negara ini kerana kegagalan JAKIM.

“Sebaliknya kita fikir tentang cara-cara lain, yang tidak datang daripada agama Islam untuk menunjukkan bahawa agama Islam ini agama yang cukup keras dalam pelaksanaannya.

“Dengan kata lain kita lebih suka memaksa daripada ajaran Quran yang kata tidak ada paksaan dalam Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette