Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kemelut politik di negeri itu masih belum berakhir dan kini menemui jalan buntu.

“Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi kata kemelut di Perlis sudah selesai, belum lagi,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, isu pelantikan Menteri Besar akhirnya dipercayai selesai apabila beliau selesai menyembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menyatakan persetujuan untuk mengekalkan Datuk Seri Azlan Man menjawat jawatan nombor satu negeri itu.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menegaskan, selagi Menteri Besar, Datuk Azlan Man memegang jawatan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri itu akan terus menolak beliau.

“Kebanyakan ADUN dan Perhubungan UMNO Perlis menolak Azlan Man. Kita bukan menolak raja, tapi kita tolak dia sebagai Menteri Besar.

“Seorang yang tidak dapat sokongan, dia muka tak malu nak jadi MB. Ini masalah kita ada pemimpin macam ini,” katanya lagi.

Kemelut politik Perlis memasuki minggu ketiga terus memuncak apabila BN Perlis memutuskan untuk menghantar seramai 11 nama baharu termasuk nama bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada istana.

Kesemua 11 nama itu terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta dua ahli Parlimen.

“Kalau dulu kita silap bagi satu nama sahaja, dan Raja titah tidak berkenan, kita tidak boleh paksa Baginda.

“Raja lebih berkuasa jadi kita bagi 11 nama untuk pertimbangan Baginda. Rakyat sudah undi BN dan harap parti dapat bela mereka,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, BN negeri ini akan mengadakan sidang akhbar khas pada Jumaat ini bagi memohon ampun kepada Raja Perlis berikutan salah faham membabitkan soal pelantikan Menteri Besar sebelum ini.- MalaysiaGazette