Mohamad Sabu bersama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (lima kiri) serta Panglima-Panglima Perkhidmatan ATM menunjukkan sebahagian barangan keperluan yang akan disumbangkan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu lebih banyak syarikat gergasi menyumbang kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini penyumbang kebanyakannya daripada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan Kementerian Pertahanan.

Syarikat-syarikat tersebut terbabit dapat menjalankan perniagaan dan membuat keuntungan kerana Malaysia adalah negara yang aman dan tenteram hasil sumbangan ATM.

“Pengorbanan warga ATM tidak mengira masa dan tempat. Perwira dan perajurit kita terus bertugas dengan mengenepikan kepentingan diri dan keluarga walaupun dalam suasana hari raya.

“Mereka bertugas walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga, bukan saja di serata pelosok negara malahan dunia, di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya penuh sebak pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohd Afendi Raja Mohd Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Terdahulu, sebanyak 48 wakil agensi menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM1.64 juta kepada Mohamad untuk warga ATM yang akan bertugas pada Aidilfitri kali ini.

Selain itu, empat badan korporat turut menyampaikan wang zakat berjumlah RM1.675 juta kepada ATM iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (RM575,000), Affin Bank Berhad (RM500,000), Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (350,000) dan Affin Hwang INvestmenet Bank Berhad (RM250,000).

Sebanyak 15,000 bungkusan beg raya yang disediakan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM turut diedarkan kepada setiap perkhidmatan ATM untuk agihan kepada anggota bertugas di dalam dan luar negara serta anggota keselamatan kem tentera pada Aidilfitri nanti. – MalaysiaGazette