Tengku Adnan
Surat pemakluman penamatan penyaluran peruntukan bulanan kepada UMNO Bahagian seluruh negeri yang ditandatangi Datuk Seri Tengku Adnan tersebar di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Sekeping surat mendedahkan maklumat penamatan penyaluran peruntukan bulanan kepada UMNO Bahagian seluruh negeri
tersebar di laman sosial.

Surat yang bertarikh 22 Mei itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adenan Tengku Mansor.

Kandungan surat itu menyatakan penamatan peruntukan tersebut telah berkuatkuasa sejak Mei 2018.

“Sayugia dimaklumkan, Ibu Pejabat setelah meneliti kedudukan kewangan parti dan ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

“Walau bagaimanapun, adalah diharapkan bahawa pihak Bahagian dan Sayap Pergerakan Bahagian dapat meneruskan pengoperasian Bahagian seperti mana kebiasan sebelum ini.

“Kerjasama semua berhubung perkara ini amat dihargai,” menurut kandungan surat tersebut.

Difahamkan, edaran surat berkenaan turut diberikan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Setiausaha Badan Perhubungan, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Bahagian.

Sejak mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, UMNO mengalami pergolakan terbesar parti itu yang akhirnya memaksa presidennya, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan. – MalaysiaGazette