Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kini dipercayai menyembunyikan diri dari polis.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pengeluaran waran itu berkata, sebelum ini polis telah memohon untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Jamal atas kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

“Pada 1 Jun (hari ini) waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang.

“Sehubungan dengan itu juga, kerjasama orang ramai adalah dipohon untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai Jamal Md Yunos kepada mana-mana balai polis yang berdekatan,” kata beliau dalam kenyataan.

Mohamad Fuzi berkata, polis telah memberi masa yang secukupnya kepada Jamal untuk menyerahkan diri dan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan yang dijalankan ke atas beliau.

“Namun beliau tetap gagal dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan bahawa keselamatan diri beliau terancam,” katanya. – MalaysiaGazette