Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong berhak menolak nama calon Peguam Negara yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, kata Penganalisis Politik Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Menurut Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), YDPA sudah tentu mempertimbangkan Peguam Negara yang dipilih boleh menasihati kerajaan berkaitan dengan aspek perundangan Islam.

“YDPA mempunyai hak untuk memilih mana-mana calon yang dikemukakan itu ada dalam Perlembagaan Persekutuan kuasa mencadangkan Perdana Menteri. Menolak atau menerima adalah hak YDPA jadi siapa-siapa pun tidak boleh pertikai.

“Pertimbangan YDPA untuk menolak atau tidak bersetuju mungkin atas beberapa perkara, bukan isu Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam isu utama kerana seorang Peguam Negara itu mestilah boleh menasihati kerajaan terutamanya dalam hal ehwal dengan agama Islam, syariah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan Persekutuan yang menamakan peguam veteran Tommy Thomas sebagai calon peguam negara menerusi laporan MalaysiaKini  semalam.

Sumber yang dekat dengan kerajaan dipetik sebagai berkata bahawa Tommy merupakan nama yang dipilih sebulat suara dan namanya telah diserahkan kepada YDPA minggu lalu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagaimanapun dikatakan menggesa agar nama yang diberikan untuk jawatan itu adalah daripada orang Muslim.

Mengulas lanjut, Martadha turut menegaskan calon yang menjadi peguam negara pasti wujud di Pejabat Peguam Negara sendiri

Bagaimanapun, katanya, sudah tentu kerajaan Pakatan Harapan yang ada pada masa ini tidak mahu memilih calon pada masa pemerintahan kerajaan terdahulu,

Beliau turut menamakakan calon-calon yang dilihat sesuai untuk menggalas jawatan tersebut.

“Misalnya penggalasnya Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek mungkin nama beliau juga boleh dipertimbangkan sebab beliau orang nombor dua dalam pejabat itu, sebagai penggalas Peguam Negara, atau yang ada dalam Pejabat Peguam Negara yang berkredibiliti tinggi.

“Mungkin kerajaan tidak mahu orang yang dipilih daripada kerajaan terlebih dahulu itu tidak apalah tapi calon itu perlu berkredibiliti tinggi saya pasti calon seperti itu ada dalam Pejabat Peguam Negara,” ujarnya.

Dikatakan hanya nama Tommy sahaja yang diserahkan sebagai cadangan untuk dilantik sebagai Peguam Negara.

Tugas peguam negara ketika ini digalas oleh Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek dan jika cadangan itu dipersetujui, Tommy akan menggantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini dalam proses melepaskan jawatannya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. KDYMM TUANKU YDP AGONG Amat bijaksana dan benteng PENYELAMAT NEGARA KHUSUSNYA Bangsa Melayu.. Pemimpin negara perlulah berhemah dan bijaksana. Fahami lah detik PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948 dan PERJANJIAN KEMERDEKAAN NEGARA 31/8/1957. PERLANTIKAN PEGUAM NEGARA bukan kali pertama perlulah memenuhi kriteria dan mematuhi SOP yg telah di amalkan..

    Moga2 INSTUSI D RAJA DI NEGARA KITA TERPELIHARA DAN TERUS KUKUH.
    Junjung Kasih Tuanku.

Comments are closed.