Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, petang semalam.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPURĀ – Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak menyalah guna kuasa untuk menganiaya pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata kerana dendam politik selepas berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU14 lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa, tindak-tanduk Kerajaan PH yang mengenakan pelbagai tekanan terhadap pentadbiran dahulu dilihat hanya satu penindasan khususnya melibatkan dirinya sendiri.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah diberi mandat oleh rakyat untuk memakmur, memaju dan mensejahterakan rakyat dan bukannya menindas pihak lawan.

“Saya sendiri bukanlah penjenayah atau pengganas, tetapi saya hanyalah pemimpin politik dan masyarakat yang ingin mendedahkan apa yang berlaku di dalam kawasan kita yang dibimbangkan oleh masyarakat,” katanya dipetik dari laman web KitaiKini, hari ini.

Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia itu kerana gagal tampil dan memberikan kerjasama berhubung siasatan polis.

Jamal didakwa atas tiga kes iaitu mempamerkan senjata api serta dua kesalahan lain ketika di Hospital Ampang Puteri, Ampang, 25 Mei lalu dan masih mempunyai baki enam kes yang belum dituduh.

Bagaimanapun, Jamal menghilangkan diri selepas diberikan ikat jamin dan tidak sempat untuk menyelesaikan proses berkenaan.

Selepas gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Jamal muncul dalam rakaman video di sebuah ladang sawit yang tidak diketahui lokasinya dan mendakwa keselamatan diancam.

Jamal juga mendakwa, tindakan hukuman lebih daripada sembilan kes termasuk kes tiada tindakan dalam pemerhatian (KIV), tiada tindakan lanjut dan fail sudah ditutup (NFA) kini telah dibuka semula untuk siasatan.

“Perkara tersebut tidak masuk akal dan saya percaya mereka diberikan tekanan oleh pihak atasan untuk memberikan tekanan politik terhadap saya.

“Saya bukan menolak pelaksanaan undang-undang namun beberapa tindakan terhadap sama seperti disenarai hitam dan diletakkan di bawah langkah keselamatan khas dilihat seolah-olah kerajaan telah memberi arahan untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Katanya, segala tindakan ke atasnya kini menyerupai satu kezaliman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwanya, segala tindakan ke atasnya kini adalah semata-mata demi dendam politik yang dilakukan oleh kerajaan PH demi menjatuhkan kredibilitinya sebagai kepimpinan masyarakat.

“Saya menyeru masyarakat di luar sana bersama-sama menyuburkan sistem demokrasi di negara kita ini yang telah dikhianati oleh kepimpinan kerajaan PH yang menjalankan sistem kuku besi yang menekan lawan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette