Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang selepas perjumpaan pengurusan SPAD di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018
Anthony Loke Siew

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan siri nombor pendaftaran kenderaan khas ‘Malaysia’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengenalan nombor pendaftaran khas itu bertujuan memupuk semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema  Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’.

Menurut beliau, tawaran bidaan nombor itu melibatkan 10,000 siri bermula daripada Malaysia 1 sehingga Malaysia 9999.

“Bidaan nombor pendaftaran itu akan diuruskan oleh JPJ di mana setiap tawaran nombor dikendalikan mengikut arahan jabatan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang berkuatkuasa.

“Bidaan ini akan dibuka kepada orang awam mulai 2 Julai hingga tarikh tutup 16 Julai dan keputusan tawaran akan diumumkan pada 23 Ogos 2018,” katanya pada sidang media di sini hari ini,

Anthony berkata, pelaksanaan tawaran nombor pendaftaran istimewa itu dijangka mampu menjana hasil yang memberangsangkan kepada kerajaan.

Ujarnya, ia adalah berdasarkan hasil yang diperoleh melalui tawaran dan penjualan nombor pendaftaran indeks siri ‘V’ dan ‘F’ yang masing-masing telah merekodkan hasil sebanyak RM22.48 juta dan RM17.55 juta.

Jelas beliau, bermula dengan Kuala Lumpur bidaan nombor istimewa itu akan turut diperluaskan ke negeri-negeri lain selepas ini.

Sementara itu, Anthony berkata, pemberian nombor tertentu yang diberikan kepada NGO untuk ditawarkan kepada orang ramai sepertimana yang diamalkan sebelum ini akan dihentikan.

Katanya, nombor khas itu hanya akan ditawarkan melalui JPJ dan hasil yang dikutip akan dijadikan dana kerajaan. – MalaysiaGazette