Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Seorang Peguam Negara yang dilantik harus memahami selok belok isu syariah yang kompleks, menurut seorang bekas peguam Persekutuan, Mohd. Jamizal Zainol.

Menurutnya, individu yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bekerjasama dengan 600 peguam Persekutuan dan bukan sahaja perlu bijak memahami bidang birokrasi semata-mata.

“Peguam Negara bukan hanya perlu bijak tetapi juga memahami selok belok birokrasi. Peguam Negara sekurang kurangnya memahami sistem kerana beliau bukan sahaja sebagai Peguam Negara tetapi juga mentadbir sebuah Jabatan dan biasa dengan arahan arahan pentadbiran, kewangan dan pekeliling kerajaan,” katanya dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Isu pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dibidas ramai pihak termasuk parti politik.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali mendakwa Tommy bersifat sekular dan tidak layak untuk menjawat jawatan Peguam Negara.

Oleh itu, Pas meragui keperibadian Tommy yang dilihat akan membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.

Pelantikan Tommy dihambat kontroversi apabila Istana Negara menolak pelantikan Tommy, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan tersebut.

Mohd Jamizal Zainol
Mohd Jamizal Zainol

Justeru itu, Mohd. Jamizal berkata, ramai lagi individu dalam arena undang-undang yang boleh diketengahkan sebagai Peguam Negara.

“Ramai lagi bekas hakim beragama Islam yang layak, bebas dan mampu mereformasikan Jabatan ini. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hishamudin Mohd Yunus antara calon yang layak.

“Calon -calon tersebut sedikit sebanyak telah terlibat dalam sistem dan memahami selok belok pentadbiran dan isu isu syariah yang kompleks.

“Mereka juga dikenali sebagai tokoh yang bebas dan membuat keputusan berdasarkan fakta dan hukum undang undang tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik dan persepsi masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette