Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal mendapat presiden baharu apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengesahkan bersetuju menerima tawaran mengemudi badan sukan bola sepak negeri itu.

Berita itu diumumkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, Tengku Amir berkata, FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan arena bola sepak Selangor.

“Baginda menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau,” kata Mohamad Munir.

Beliau berkata, Tengku Amir sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS dan pasukan bola sepak Selangor terus mara ke hadapan.

“Oleh demikian, baginda menyeru rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang dilakukan baginda apabila menerajui FAS nanti,” katanya.

Mohamad Munir berkata, Tengku Amir yakin pasukan Selangor akan berupaya mencapai kegemilangan pada masa akan datang.

Presiden FAS ketika ini, Datuk Seri Subahan Kamal sudah menyatakan kesediaan baru-baru ini untuk berundur bagi memberi laluan kepada Tengku Amir Shah.

Subahan, 53, membuat keputusan untuk melepaskan kerusi No.1 itu kerana bebanan tugas apabila turut memikul tanggungjawab sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Beliau dipilih sebagai Presiden FAS pada Februari tahun lalu bagi memimpin persatuan itu bagi penggal 2017-2021.

Subahan masih kekal sebagai Presiden FAS sehingga Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk berkenaan diadakan pada 3 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast