Anthony Loke

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menwujudkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurut Menterinya, Anthony Loke, APAD akan berperanan untuk melaksanakan fungsi-fungsi dasar bagi merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

Jelas Loke, APAD akan diketuai seorang Ketua Pengarah yang akan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), rel dan sistem bas.

“Kita akan serapkan SPAD ke dalam APAD. SPAD yang baru dimansuhkan dua minggu lepas sebelum ini berperanan merancang dan membangunkan sektor pengangkutan awam darat, jadi peranan itu akan dikekalkan di bawah APAD.

“Perbezaan antara APAD dan SPAD ialah ianya adalah agensi dan bukan suruhanjaya seperti sebelum ini. Kerajaan tidak perlu tubuhkan satu suruhanjaya, tidak ada pengerusi suruhanjaya atau ahlinya.

“Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengendalikan penguatkuasaan dan pengeluaran lesen kenderaan swasta atau perdagangan. Permohonan lesen atau pembayaran perlu melalui kaunter JPJ. Jadi selepas kita laksanakan penstrukturan semula tidak ada lagi kaunter berasingan,” katanya.

Susulan daripada pembaharuan ini, Loke mendedahkan beberapa akta juga akan dipinda dan dimansuhkan dalam masa terdekat.

“Antaranya, Akta SPAD 2010 (Akta 714) yang akan dimansuhkan; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) akan dipinda untuk memberikan kuasa kepada Kementerian Pengangkutan, APAD dan JPJ dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga akan dipinda untuk beri kuasa kepada JPJ,” ujarnya.

Tambah beliau, pelan penstrukturan semula SPAD sedang diperincikan di peringkat kementerian melalui empat jawatankuasa kecil yang ditubuhkan dan dipantau oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

“Semua kekeliruan serta salah faham berhubung pembayaran saman SPAD berikutan pemansuhannya baru-baru ini masih perlu dibuat.

“Sehingga akta SPAD dibubarkan di Parlimen semua perkara berkaitan penguatkuasaan termasuk saman masih berjalan. Jangan salah faham, perlu buat bayaran,” tegasnya.

Sebelum ini, bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mempertikaikan gesaan untuk menutup agensi persekutuan itu kerana mendakwa ia diperlukan bagi melaksanakan transformasi pengangkutan awam di Malaysia.

Bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu berkata, SPAD sudah menunjukkan kejayaan dalam merancang sektor itu secara strategik.

Katanya, sebelum penubuhan SPAD pada 2010, tiada agensi yang menyelia sistem pengangkutan, termasuk rangkaian bas dan rangkaian rel.

Beliau berkata, masih penting untuk SPAD menasihat dan merancang masa depan pengangkutan awam dengan teliti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sememangnya semua teksi seluruh negara sudah diberikan perkhidmatan aplikasi seperti uber atau grab bagi mengganti teksi meter konvensional yang ketinggalan zaman ,ini bermakna setiap kereta yang ingin menjalankan perkhidmatan awam perlu dikawalselia dan mendapat kelulusan dari jpj dan puspakom .
    Ini bagi memastikan setiap dari perkhidmatan aplikasi bagi perkhidmatan awam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada semua pihak mengikut tempat mengambil dan menurunkan penumpang yang disediakan oleh PBT dan majlis daerah masing masing.

Comments are closed.