KUALA LUMPUR – Pembelian sebidang tanah oleh Bank Negara Malaysia dilakukan secara telus malah bank pusat itu menasihatkan kerajaan supaya melakukan proses tender terbuka bagi memiliki aset berkenaan.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim di dalam amanat terakhirnya kepada kakitangan menjelaskan, bank pusat yang meminta kerajaan melaksanakan tender awam yang kompetitif bagi penjualan sebidang tanah berkeluasan 55.79 ekar pada harga RM2 bilion.
“Kami berbincang secara mendalam mengenai jumlah tersebut semasa mesyuarat-mesyuarat ahli lembaga pengarah.
“Malah kami sendiri yang mencadangkan kerajaan supaya menjual tanah tersebut dengan cara terbaik iaitu tender awam dan kami bangga dapat bersaing dengan pihak lain yang turut berminat.
“Kami juga memilih untuk mengeluarkan kenyataan akhbar pada Januari 2018 bagi memberitahu rakyat dan ia juga adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadi telus,” katanya sambil menambah bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk Bank Negara membeli tanah-tanah sebagai aset.
Katanya, ibupejabat Bank Negara di Jalan Dato’ Onn dekat sini dibina di atas tiga bidang tanah yang mana pengambilan alih dilakukan pada 1950 dan 1980.
Manakala pada 2013, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang ketika itu masih lagi Gabenor Bank Negara telah membeli sebidang tanah di Bukit Perdana pada harga RM1,235 kaki persegi untuk dibangunkan sebagai sebuah Sekolah Perniagaan Asia dan Pusat Latihan Industri Kewangan.
Jumlah itu terpaksa dibayar berdasarkan pernilaian yang dibuat oleh jurunilai profesional dan bebas.
Tambah Muhammad, selama memegang jawatan Gabenor Bank Negara sejak Mei 2016, beliau menjunjung tinggi sikap profesionalisme, integriti dan kemuliaan selain menegaskan Bank Negara selaku sebuah institusi tidak pernah terlibat dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
“Persepsi yang mengatakan pembelian tanah tersebut dibuat kerana Bank Negara sengaja membantu 1MDB adalah salah sama sekali.
“Bank Negara tidak akan melakukan sesuatu yang akan mengkhianati keyakinan rakyat kepada kami.
“Kami menentang sebarang salah guna kuasa dan rasuah,” tegasnya.
Jelasnya lagi, Bank Negara tidak mempunyai sebarang kuasa dan tidak tahu ke mana hasil pembelian tanah tersebut digunakan.
“Sukar untuk kita memahami mengapa Bank Negara dikaitkan dengan sebuah entiti yang penuh kontroversi dan berdepan dengan pelbagai tuduhan penipuan dan salah guna kuasa.
“Ini bukan cara kita bekerja malah kita pernah mengambil tindakan penguatkuasaan kepada 1MDB sebelum ini.
“Skandal 1MDB benar-benar telah merosakkan Malaysia dan sebagai seorang rakyat, saya sendiri berasa marah, tertekan dan geram,” katanya. – MalaysiaGazette















