Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan memperuntukan sejumlah RM8.16 bilion kepada semua negeri pada tahun ini.

Kementerian Kewangan berkata, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri (KWRN) pada tahun 2020 sebanyak RM430 juta.

Untuk rekod jumlah caruman yang telah diluluskan untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM290 juta dan tahun 2018 (RM330 juta).

Peruntukan dana kepada KWRN untuk tahun 2020 tersebut adalah untuk membiayai anggaran pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus (pemberian defisit) sebanyak RM150 juta.

Kelulusan peruntukan RM430 juta perlu dipohon dua tahun lebih awal kerana Mesyuarat Majlis Kewangan Negara diadakan setahun sekali dan supaya jumlah tersebut dapat diambil kira dalam penyediaan bajet Persekutuan pada tahun berkenaan.

Menurutnya, ini bagi memastikan dana KWRN berada pada paras mencukupi dan tersedia untuk membantu negeri-negeri yang menghadapi masalah defisit dan kewangan.

Bagi tahun 2017, negeri yang menerima pemberian defisit ini adalah Kelantan
sebanyak RM 54.8 juta dan Perlis berjumlah RM38.4 juta.

Kedua-dua negeri tersebut mengalami defisit akaun mengurus tahun 2016.

Manakala baki caruman sebanyak RM280 juta adalah untuk membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

Katanya, pemberian ini adalah bagi membantu negeri-negeri meningkatkan lagi perbelanjaan pembangunan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara.

Pada tahun 2018, Pemberian TAHAP telah dibayar kepada 7 negeri iaitu Kedah sebanyak RM24.4 juta, Kelantan (RM28.5 juta), Sarawak (RM23.8 juta), Terengganu (RM27.7 juta), Perlis (RM23.3 juta), Pulau Pinang (RM13.5 juta) dan Perak (RM21 juta).

Pemberian kepada negeri-negeri lain akan dibayar setelah tuntutan diterima daripada mereka oleh Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette