SINGAPURA – Harga minyak dunia naik dalam dagangan hari ini disokong oleh penurunan eksport Venezuela.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0. 33 sen atau 0.4 peratus, kepada AS$75.69 setong pada 0101 GMT.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga meningkat sebanyak AS$0.38 sen, atau 0.6 peratus, pada $ 65.11 setong. Ia menamatkan sesi sebelumnya dengan menyaksikan penurunan sebanyak 1.2 peratus kepada AS$64.73 setong.

Venezuela adalah anggota OPEC, yang hampir sebulan tertunggak dalam penghantaran minyak mentah kepada pelanggan-pelanggan dari pelabuhan eksport minyak utamanya, menurut data Reuters.

Kelewatan itu boleh menyebabkan PetrĂ³leos de Venezuela S.A (PSVSA) melanggar kontrak bekalan minyak mentah sekiranya ia tidak ditangani dengan cepat.

Kapal-kapal tangki menunggu untuk memuatkan lebih daripada 24 juta tong minyak mentah, hampir sama banyak penghantaran PDVSA pada bulan April.

Situasi penangguhan itu disifatkan sangat teruk.

Beberapa pelanggan PDVSA memaklumkan kemungkinan terpaksa mengisytiharkan pembatalan kontrak, jika syarikat minyak Venezuela itu tidak melakukan penghantaran baru.

“Perubahan bekalan OPEC telah mengakibatkan ketidaktentuan besar dalam pasaran,” kata penganalisis, Xi Jianrui dari JLC.

Kekurangan bekalan minyak dari Venezuela berlaku selepas OPEC mengurangkan pengeluaran yang dilaksanakan pada tahun 2017 dalam usaha untuk meningkatkan harga minyak. – MalaysiaGazette