Home Nasional Musa tinggalkan negara melalui Brunei, Jamal guna laluan tikus

Musa tinggalkan negara melalui Brunei, Jamal guna laluan tikus

Lelaki dipercayai mirip Musa Aman berada di stesen kereta api St Pancras di London.
Lelaki dipercayai mirip Musa Aman berada di stesen kereta api St Pancras di London.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dipercayai meninggalkan negara melalui Brunei.

Sementara, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos dipercayai melarikan diri ke negara jiran menggunakan laluan tikus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil risikan polis mendapati Jamal dipercayai berada di Indonesia dan usaha mengesan lokasi sebenar beliau berada.

Katanya, polis ketika ini telah mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk membantu mengesan Jamal.

Menurutnya, Jabatan Imigresen juga tidak mempunyai rekod keluar Musa tetapi polis percaya beliau keluar negara dengan cara tersebut.

“Ada yang mengatakan dia (Musa) berada di Brunei tetapi tidak ada lokasi tertentu. Kita sudah maklumkan kepada pihak berkuasa Brunei untuk mengesan beliau,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 13 sempena perayaan Aidilfitri 2018.

Sebelum ini, satu video memaparkan seorang lelaki yang wajahnya mirip Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu, ditemui di stesen kereta api St Pancras International di London.

Musa dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, selain  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk bantu siasatan. – MalaysiaGazette