KLUANG – Masyarakat Orang Asli di Kahang berharap peruntukan pembangunan secara khusus dan menyeluruh untuk mereka akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Penyelaras Masyarakat Orang Asli Sembrong, Tok Batin Sari Achu berkata, pelaksanaan belanjawan tersebut akan memberi manfaat yang terus dirasai diperingkat kampung, keluarga dan generasi muda Orang Asli.
“Pembangunan yang akan dilaksanakan juga perlu inklusif dengan mengambil kira keperluan tanah, kemudahan asas, pendidikan, ekonomi, perumahan, kesihatan sosial, adat dan kelestarian kehidupan masyarakat Orang Asli.
“Belanjawan 2027 bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembangunan yang menjamin tanah, masa depan anak-anak, ekonomi keluarga, adat dan maruah masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, pembangunan yang seimbang dan lestari perlu melibatkan pembangunan ekonomi dan fizikal namun tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar, sumber kehidupan tradisional dan kepentingan generasi akan datang.
Jelasnya, penyampaian bantuan yang telus terus kepada sasaran serta memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan, kepimpinan masyarakat dan komuniti supaya program serta bantuan dapat dipantau serta disampaikan berdasarkan keperluan sebenar.
“Harapan masyarakat Orang Asli dalam Belanjawan 2026 bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembangunan yang menjamin tanah, masa depan anak-anak, ekonomi keluarga, adat dan maruah masyarakat.
“Kami mahu kemajuan sampai ke kampung, pada masa yang sama tanah adat, wilayah kehidupan dan identiti Orang Asli terus dipelihara,” katanya.
Pihaknya turut mengharapkan pengukuhan peranan kepimpinan kampung dengan memastikan suara Tok Batin dan kepimpinan masyarakat diambil kira dalam perancangan serta pelaksanaan pembangunan yang melibatkan kampung Orang Asli.
Antara perkara utama adalah memperluaskan bantuan pendidikan, kemudahan pembelajaran digital, sokongan kepada pelajar sekolah dan penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) serta usaha mengurangkan keciciran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli.
“Turut perlu diberikan perhatian adalah pembangunan belia dengan menyediakan lebih banyak peluang TVET, latihan kemahiran, pekerjaan, keusahawanan, sukan dan kepimpinan untuk melahirkan generasi muda Orang Asli yang berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette
















