KUALA LUMPUR- Program Sekolah Politik dilancarkan hari ini bagi mendidik rakyat tentang kepentingan politik dan peranannya di dalam membentuk sebuah negara yang stabil.
Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, program itu akan dimulakan pada 7 Julai ini.
Program itu akan dijalankan setiap hujung minggu di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.
“Setiap peserta program akan mendapat sijil setiap kali selepas habis satu silibus dan sekiranya mendapat sambutan, kita akan usahakan untuk mendapatkan diploma eksekutif untuk peserta yang melengkapkan tiga semester,” katanya selepas majlis pelancaran program Sekolah Politik di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zaharudin, yuran program adalah sebanyak RM50 bagi setiap semester.
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).- MalaysiaGazette