Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Holding Sdn Bhd, Sahar Sahad menunjukkan perbezaan antara telekung asli dan telekung tiruan pada sidang media mengenai isu telekung tiruan jenama itu dari Vietnam yang berleluasa di Flora Terrace, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Holding Sdn Bhd, Sahar Sahad menunjukkan perbezaan antara telekung asli dan telekung tiruan pada sidang media mengenai isu telekung tiruan jenama itu dari Vietnam yang berleluasa di Flora Terrace, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Pengeluar telekung jenama Siti Khadijah, Siti Khadijah Holding Sdn. Bhd. (Siti Khadijah) mendakwa  telekung miliknya buatan Vietnam yang kini dijual di laman sosial adalah tiruan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahar Sahad berkata, ini kerana syarikat itu tidak pernah memiliki kilang pengeluaran di negara itu.

Beliau memberitahu, gara-gara telekung tiruan itu, pihaknya telah menerima ribuan panggilan dan maklum balas dari segi kualiti dan konsistensi yang jauh berbeza.

“Transaksi penjualan telekung tiruan itu menggunakan trademark dan rekaan yang semakin menjadi- jadi.

“Lebih kritikal apabila logo dan cara bungkusan kami ditiru bulat-bulat dan amat mengelirukan pengguna.

“Kesannya terhadap pengguna, rakan niaga, ekonomi negara dan imej kami sebagai telekung premium perlu dihebahkan agar pelanggan tidak rasa tertipu memiliki telekung tiruan yang dianggap asli,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir, pengasas telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman.

Telekung Siti Khadijah yang asli dijual bermula harga RM139 hingga RM287.

Pertunjukkan fesyen baju dan telekung koleksi terbaru daripada Siti Khadijah di Flora Terrace, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2018.

Bagaimanapun telekung tiruan dari Vietnam yang tular di laman sosial dijual lebih murah 50 peratus dari harga tersebut namun mendapat rungutan pelanggan yang panas ketika memakainya dan jahitan benang yang cepat tertanggal.

Mengulas lanjut, Sahar menegaskan telekung jenama Siti Khadijah yang asli  hanya dijual di lebih 28 butik miliknya di seluruh negara selain laman web rasmi, www.sitikhadijah.com.

Selain itu ujar beliau, telekung tersebut turut dijual di tiga sosial media rasmi iaitu Facebook, Instagram dan Twitter serta saluran jualan seperti Lazada, Shopee, FashionValet dan Astro Go Shop.

“Kilang Siti Khadijah terletak di Bangi, Selangor dan memiliki 98 peratus pekerja tempatan terutama ibu tunggal.

“Namun isu tudung tiruan ini telah menyokong aliran wang keluar ke negara lain selain secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Sahar menambah, Siti Khadijah merupakan jenama yang berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan semua trademark rekaan yang ditiru boleh diambil tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette