PUTRAJAYA – Kejayaan Universiti Malaysa (UM) memberi indikasi bahawa institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia telah berjaya menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan positif menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.
“Ia memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara-negara jiran sebagai hub pendidikan tinggi, seterusnya menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pendidikan bagi pelajar-pelajar antarabangsa,” kata Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam sidang media di sini hari ini.
Ditanya tentang universiti awam yang mendapat penarafan itu bakal menjadi tarikan kepada pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian, beliau tidak menafikan kelebihan itu namun pentadbiran universiti juga perlu memainkan peranan.
“Daya tarikan pelajar luar memasuki universiti awam bukan semata-mata sebab ranking dunia tapi promosi dan hasil karya yang dihasilkan oleh sarjana tempatan,” katanya lagi.
Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2018/2019 dalam laporannya pada Rabu lalu menyenaraikan UM di tempat ke-87 daripada 100 universiti terbaik dunia.
Maszlee berkata, prestasi UM selaku universiti tertua di negara ini meningkat sebanyak 27 tangga teratas berbanding 2017 pada kedudukan ke-114 dunia.
“UM telah pecah rekod berada dalam kedudukan 100 universiti teratas di dunia dalam QS World University Rankings 2018/2019.
“UM telah menunjukkan prestasi yang konsisten. Awal tahun ini tujuh subjek yang ditawarkan UM juga tersenarai dalam 50 teratas dalam QS World University Rankings 2018/2019.
“Malah tahun lepas, UM juga tersenarai dalam Top 10 Best Global Universities for Engineering by US News and World Report pada 2017,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, selain UM, empat lagi universiti awam Malaysia tersenarai dalam laporan itu iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-184; Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-202, Universiti Sains Malaysia (USM) ke-207 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-228.- MalaysiaGazette
UM antara 100 universiti terbaik dunia