MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez telah memberikan 11 dari 17 jawatan Kabinet kepada wanita.
Jumlah wanita dalam Kabinet itu lebih tinggi daripada negara-negara lain di Eropah.
Pemilihan lebih ramai wanita dalam Kabinet Sanchez yang dikatakan seorang penyokong kesamarataan ternyata berbeza dengan pemerintahan bekas perdana menteri, Mariano Rajoy yang digulingkan pada pada minggu lalu.
Menteri-menteri wanita yang dilantik diberikan portfolio utama termasuk sebagai menteri pertahanan, ekonomi, kewangan dan pendidikan.
Seorang bekas angkasawan, Pedro Duque, telah diberikan peranan sebagai menteri sains.
Dalam kenyataan di televisyen, Sanchez berkata, kerajaan barunya terdiri daripada individu-individu yang “berkongsi wawasan yang sama dari masyarakat progresif yang sedang memodenkan dan pro-Eropah”.
Katanya, Eropah adalah sebagai “tanah air baru” dan melihat kabinetnya sebagai refleksi terhadap perubahan di Sepanyol yang muncul pada 8 Mac lalu melalui pergerakan feminis.
Dianggarkan lima juta wanita di seluruh negara itu mengadakan “mogok feminis” pada hari itu kerana protes terhadap ketidakadilan gaji dan keganasan gender. – MalaysiaGazette