Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan bakal melaksanakan enam tindakan bagi menangani pelbagai isu berkaitan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan bagi memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, yang pertama, meningkatkan kapasiti hospital di bawah kementerian dengan membina fasiliti baharu dan pada masa yang sama menaiktaraf hospital sedia ada.

Pada tahun 2010 terdapat 137 buah hospital dan institut di bawah Kementerian kesihatan Malaysia, dan jumlah ini telah bertambah kepada 145 buah hospital pada tahun 2016.

“Kedua, menambahbaik perkhidmatan rawatan harian di hospital bagi mengurangkan kesesakan pesakit di wad dan mengurangkan tempoh menunggu untuk rawatan, dan bagi merealisasikan matlamat ini kementerian telah membina sembilan pusat rawatan harian yang menyediakan kemudahan dan perubatan,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama, di sini baru-baru ini.

Dzulkefly berkata, tindakan selanjutnya ialah mewujudkan lebih banyak kolaborasi antara hospital kerajaan dan universiti, dimana sehingga kini sebanyak 22 buah hospital kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan.

“Hasil kerjasama itu telah menjadikan hospital kerajaan sebagai pusat latihan bagi pakar dan pelajar perubatan dari universiti yang menjalinkan kerjasama itu. Antara contoh jalinan kerjasama adalah di antara Hospital Tapah di Perak dan Universiti Tunku Abdul Rahman dan Hospital Tanjung Karang di Selangor dengan MAHSA University.

Tindakan keempat ialah mengadakan sistem temujanji berjumpa doktor secara berperingkat bermaksud pesakit dikehendaki datang pada masa-masa ditetapkan dan bukan pada masa yang sama, ia bertujuan mengurangkan kesesakan di klinik serta mengurangkan masa menunggu.

“Tindakan kelima ialah mewujudkan kerjasama hospital kluster diantara hospital pakar dan hospital bukan pakar bagi meningkatkan akses perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar dan pada masa yang sama ia dapat mengurangkan masa menunggu pesakit di hospital pakar.

“Antara hospital kerajaan yang terlibat dalam kerjasama ini ialah Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah, katanya.

Dzulkefly berkata, tindakan keenam ialah mempertingkatkan kecekapan mengendalikan proses menunggu pesakit dengan tindakan ini terbukti berkesan bagi mengurangkan proses masa menunggu pesakit.

Beliau berkata, tindakan tersebut mampu menambahbaik kualiti perkhidmatan hospital kerajaan pada masa depan. – Bernama