Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bukan Islam di Malaysia mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perbahasan undang-undang, termasuk mana-mana yang memberi kesan kepada mereka secara tidak langsung.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun terdapat beberapa undang-undang yang hanya memberi kesan kepada penganut Islam, ini selalunya tidak dapat dielakkan kepada bukan Islam.

Sambil memberi contoh, cadangan rang undang-undang yang dibuat oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).

“Mereka yang (menyokong rang undang-undang) bercakap seolah-olah kita semua Islam dan itu sahaja; tiada siapa yang perlu bimbang. Mereka (bukan Islam) mempunyai hak rasa bimbang

“Apa-apa undang-undang, walaupun ia seolah-olah hanya memberi kesan hanya kepada umat Islam, tidak dapat tidak, akan memberi kesan kepada bukan Islam, mereka mempunyai hak untuk mengambil bahagian,” katanya dalam wawancara dengan The Star.

Anwar berkata, orang bukan Islam prihatin terhadap apa yang menjadi isu kecil kerana ketakutan akan memberi kesan kepada mereka.

“Kita perlu mengemudi dan menimbang isu ini dengan baik,” katanya ketika ditanya tentang pandangan beliau dalam menangani beberapa perbezaan utama pendapat mengenai agama di negara ini.

Anwar sedia maklum bagaimana PKR menyokong hak Abdul Hadi sebagai ahli Parlimen untuk membentang dan mencadang rang undang-undang itu.

Bagaimanapun, PKR juga menekankan bahawa ahli parlimen lain berhak membahas, meminda dan jika perlu, menolak rang undang-undang itu.

“Ini kerana apa yang dikemukakan bukan hudud dan kedua, ia adalah tafsirannya (Hadi),” katanya.

Anwar, yang dibebaskan dari penjara pada 16 Mei selepas menerima pengampunan diraja berharap, kebebasan akhbar yang dinikmati di negara ini hari ini akan mewujudkan ruang untuk dialog dan pertukaran pandangan mengenai isu itu.

“Saya yakin bahawa jika perbahasan dibuat dan dirujuk kepada pandangan berwibawa mengenai Akta 355, ia (Rang Undang-Undang yang dicadangkan) tidak akan berakhir,” katanya.

Anwar menggesa orang ramai untuk mengkaji dengan lebih dekat pendirian PKR mengenai Rang Undang-undang untuk meminda Akta 355 melalui laman sesawang https://www.keadilanrakyat.org/wp-content / uploads/2017/05/Pemerkasaaan-Perundangan-Syariah-di-Malaysia.pdf).

“Kami bukanlah golongan liberal yang enggan melaksanakan ajaran Islam. Kita mewakili hati nurani Islam, tetapi kita tidak mewakili Islam ultra-konservatif yang mahu memaksa orang lain menerima tafsiran tertentu, ” katanya.

Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-undang Ahli Persendirian untuk meminda Akta 355 pada 2016, yang jika diluluskan akan memberikan mahkamah syariah kuasa untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap semua jenayah kecuali yang melibatkan hukuman mati.

Berikutan perdebatan sengit dalam kalangan penggubal undang-undang, rang undang-undang ditangguhkan untuk perbahasan pada mesyuarat Parlimen.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan enggan membentangkan rang undang-undang itu sejajar dengan prinsip konsensus. – MalaysiaGazette