Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan mendakwa komitmen China dalam pelaburan dan tawaran pendidikan tidak ada kaitan dengan pemberian dua kontrak Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) bernilai RM9.4 bilion kepada China Petroleum Pipeline Bureu (CPPB).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan semua pegawai Perbendaharaan.

Malah, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kertas-kertas Kabinet tahun 2016 dan 2017 yang meluluskan projek SSER tidak ada langsung menyebut sebarang komitmen yang dibuat oleh China kepada Malaysia.

“Melainkan jika wujudkanya kertas-kertas Kabinet tersembunyi atau minit-minit Kabinet berfail merah yang tidak dapat diakses oleh sesiapa kecuali oleh Najib,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Guan Eng mendakwa Najib enggan menumpukan kepada persoalan utama skandal SSER, sebaliknya menegaskan faedah yang diperoleh daripada kontrak berkenaan.

Najib dalam kenyataannya balasnya pada 5 Jun lalu bagi mempertahankan pemberian kontrak itu mendakwa China telah komited untuk mengimport barangan bernilai AS$2 bilion dari Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang, selain pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia.

China juga didakwa menawarkan 10,000 tempat belajar dan latihan di pelbagai institusi pendidikan di negara berkenaan.

“Apabila ditanya, Ketua Setiausaha Negara dan semua pegawai Perbendaharaan yakin dakwaan yang dibuat oleh Najib tidak benar,” menurutnya.

Guan Eng menambah, projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan SSER sentiasa dikemukakan bersama kertas-kertas Kabinet yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, ia menimbulkan tanda tanya kerana ECRL dan SSER adalah dua projek berbeza dan melibatkan beberapa syarikat dan kontraktor berlainan di lokasi berjauhan antara satu sama lain, walaupun kedua-dua milik Malaysia yang dibiayai oleh China Exim Bank.

“Najib dengan sengaja enggan menjawab persoalan utama tentang skandal RM9.4 bilion ini. Mengapakan pembayaran RM8.3 bilion yang bersamaan 88 peratus nilai projek dibuat walaupun secara purata hanya 13 peratus kerja dilaksanakan? Mengapakah beliau membenarkan pembayaran dibuat?

“Pembayaran 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek telah dibuat walaupun hanya 14.5 peratus daripada kerja bagi projek Multi-Product Pipeline (MPP) telah disiapkan.

“Manakala hanya 11.4 peratus daripada kerja bagi Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, kemajuan kerja-kerja ini masih belum disahkan atau diaudit.

Gun Eng berkata, lebih memburukkan situasi apabila SSER belum lagi mendapatkan sebarang hak kelulusan daripada Petronas untuk membina saluran paip petrokimia untuk projek MPP.

SSER juga masih gagal mengambil alih tanah yang diperlukan di Sabah untuk melaksanakan projek TSGP.

“Walaupun pendedahan ini amat mengejutkan, Najib masih lagi percaya bahawa segala proses, peraturan dan undang-undang telah dipatuhi semasa meluluskan projek-projek SSER,” tambahnya.

Projek SSER dan MPP bernilai RM5.35 bilion melibatkan pembinaan saluran paip petrokimia sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Jitra ke Melaka dan Port Dickson.

Projek TSGP bernilai RM4.06 bilion pula melibatkan pembinaan saluran gas sepanjang 662 kilometer daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau. – MalaysiaGazette