Zeti Akhtar Aziz
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tidak tahu menahu mengenai surat yang dikatakan dihantar oleh majlis tersebut kepada Menteri Kewangan supaya beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipecat.

“Saya tidak mahu memberi komen tetapi anda memberitahu suatu perkara yang baharu sekarang.

“Saya tidak akan komen apa yang saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini hari ini.

Bekas Gabenor Bank Negara itu merupakan salah seorang daripada lima ahli majlis yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan sepucuk surat telah dihantar kepada Kementerian Kewangan oleh Majlis Penasihat Kerajaan bagi tindakan memecat beberapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam masa terdekat.

Menurut sumber, isi kandungan surat berkenaan adalah tindakan pemecatan CEO beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan.

“Majlis Penasihat Kerajaan sedang dalam proses menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bagi memecat beberapa CEO GLC dan agensi kerajaan,” kata sumber tersebut. – MalaysiaGazette