Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Perumahan Negara akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kertas cadangan untuk penubuhan majlis berkenaan dalam proses pembentangan kepada Jemaah Kabinet.

“Kertas cadangan Majlis Perumahan Negara akan dibentangkan awal bulan Julai depan, dan mulai Ogos saya dapat selaraskan semua dalam satu sistem yang lebih padat dan bersepadu.

“Untuk majlis ini akan di bawah kementerian dan sudah tentu pengarah agensi, exco kerajaan tempatan di seluruh negara, ketua pengarah perumahan akan dilibatkan,” katanya dalam sidang media di pejabat beliau hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, dengan penubuhan majlis tersebut, semua agensi perumahan yang ada di negara ini akan diselaraskan demi kepentingan rakyat.

Untuk rekod, terdapat lapan agensi perumahan dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terdiri daripada SWCorp, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perumahan Negara, Jabatan Lanskap Negara, dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

“Semua agensi perumahan akan diletakkan dibawah satu bumbung di bawah Kementerian Perumahan dan ini kita sedang siapkan kertas tersebut kepada jemaah menteri yang akan dimasukkan dalam masa terdekat,” tambah Zuraida.

Ia bagi memudahkan majlis berkenaan memantau isu-isu perumahan yang dihadapi rakyat kini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula pembentukan Majlis Rumah Mampu Milik yang termaktub dalam manifesto PH.

Ini termasuk pembinaan rumah Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Malah peranan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menjalankan skim pembinaan rumah rakyat juga turut diselaraskan.

“Ketika ini PR1MA dan SPNB dibawah agensi lain, rakyat tidak faham. Dengan penyeragaman ini masalah perumahan, skim, sewa dan harga kita dapat selaraskan semuanya.

“Dari situ kita akan selaraskan semua projek perumahan dan dengan adanya seragamkan ini kami mampu untuk mengawal pembangunan rumah bagi B40, dan taburannya akan lebih teratur dan tidak tertumpu kepada satu-satu tempat,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan menukar nama PR1MA kepada Perumahan Harapan, Zuraida berkata, tidak perlu untuk kerajaan menukar konsep biarpun Putrajaya kini dipimpin Pakatan Harapan (PH).

“Cadangan untuk letak nama Harapan kita belum fikirkan. Mungkin kita tidak akan ikut apabila kerajaan bertukar, konsep 1Malaysia pun kita tukar. Ini tidak bagus,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast