KUALA LUMPUR – Negara tidak mempunya masalah dari segi bekalan beras kerana mengeluarkan 73 peratus beras tempatan dan selebihnya ditampung dengan import yang dilaksanakan melalui kontrak jangka panjang.
Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, kerajaan sedang meneliti secara holistik berkaitan dengan pengurusan industri padi dan beras negara bagi memastikan sekuriti makanan terjamin.
“Dalam menyediakan hala tuju yang terbaik, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara.
“Selain itu, pandangan pihak luar yang terlibat dalam industri juga akan diambilkira,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shansuddin, pihaknya perlu melaksanakan satu kajian mendalam dalam isu beras kerana urusan pengimportan beras perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan bekalan beras negara tidak terjejas.
“Perancangan dan hala tuju baharu pengurusan industri padi beras negara ini juga akan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkaitan pengurusan stok penimbal.
“Selain itu pengurusan subsidi dan insentif, urusan pengimportan beras yang sering dibangkitkan, pemutuan dan isu-isu yang melibatkan kebajikan pesawah juga perkara yang perlu dikaji secara serius,” tegasnya lagi.