Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
KUALA LUMPUR – Pemilihan kepimpinan Tertinggi UMNO pada 30 Jun ini dijangka paling sengit dalam sejarah penubuhan parti itu.
Ini kerana, buat kali pertama seramai tujuh calon menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti itu.
Setiausaha Kerja parti itu Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, setakat jam 5 petang hari ini semua kertas pencalonan untuk jawatan semua peringkat parti telah diperoleh dan  sedang disaring ibu pejabat UMNO.
Katanya, sebanyak 612 calon pula menawarkan diri untuk pelbagai jawatan di semua peringkat parti daripada jawatankuasa sayap sehingga ke pengerusi tetap UMNO.
“Ikut pecahan sebanyak sebanyak 121 pencalonan diterima untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi, 207 orang mencalonkan diri untuk bertanding Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO, sembilan pencalonan untuk Naib Ketua Pemuda UMNO dan sembilan lagi merebut ketua Pemuda UMNO.
“Manakala tiga orang mencalonankan diri untuk jawatan Pengerusi tetap UMNO, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (14 orang calon), tujuh pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pula tiga pencalonan diikuti Naib Presiden pula sembilan orang mencalonkan diri.
“Ini kali pertama kita terima pencalonan terbanyak dalam sejarah pemilihan jawatan nombor satu UMNO,” katanya dalam sidang media khas bersempena hari terakhir penyerahan borang pencalonan untuk pemilihan parti itu.
Bagaimanapun, katanya kesemua pencalonan hanya akan disahkan setelah kesemua nama yang diterima dihantar untuk proses penyaringan Jabatan Insolvensi pada hari esok.
Ujar beliau, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mengumumkan senarai sah bertanding pada pukul 5 petang setelah selesai proses insolvensi.
“Esok juga kita akan mengadakan proses cabutan undi oleh setiap wakil calon untuk menentukan nombor calon di atas kertas undi pemilihan parti melibatkan semua peringkat jawatan dalam parti di auditorium selepas saringan dan pengumuman calon calon layak bertanding selesai.
“Mengikut artikel 9.5 Perlembagaan UMNO mensyaratkan bahawa calon yang bertanding mana mana jawatan Majlis Tertinggi disyaratkan mestilah seseorang yang pernah menyandang jawatan AJK Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa peringkat Bahagian untuk satu penggal,’ ujar beliau.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 88 orang mencalonkan diri untuk ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita, dan enam pencalonan untuk Naib Ketua Pergerakan Wanita dan empat pencalonan untuk jawatan Ketua Pergerakan Wanita.
Selain itu katanya, sebanyak empat pencalonan diterima untuk merebut Timbalan Pengerusi Tetap Wanita dan satu pencalonan untuk Pengerusi Tetap Wanita.
Malah katanya, 87 orang hantar pencalonan untuk jawatankuasa tertinggi Puteri UMNO, jawatan Ketua Puteri UMNO juga menyaksikan saingan sengit apabila empat orang menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri dan enam pencalonan untuk Naib Ketua Puteri UMNO.
Ditanya sama ada menerima pencalonan daripada Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos yang sedang diburu polis dalam siasatan kes berkaitan senjata api, Ab Rauf berkata, “dia belum disabitkan bersalah atas tuduhan yang dihadapinya.
Ketika diminta mendedahkan nama tuju calon yang menawarkan diri untuk jawatan Presiden, Ab Rauf bagaimanapun berkata adalah pramatang untuk mendedahkan nama berkenaan sebelum pengesahan dibuat.
Terdahulu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin mengesahkan pencalonan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.
Namun semakan dalam talian laman web rasmi pemilihan UMNO mendapati empat lagi calon Presiden itu ialah Rahmat Azim Abdul Aziz dari Bahagian UMNO Kota Raja. Rosli Saat dari Bahagian Bangi, Mohamed Iqbal Maricair dari Bahagian Bandar Tun Razak dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin dari Bahagian Iskandar Puteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast