Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam serbuan di tiga lokasi berasingan itu, polis merampas dadah jenis heroin sebanyak 18.62 kilogram (kg); ketamin (52.7 gram); 200 biji pil ektasi dan 2,400 biji pil eramin 5.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam serbuan di tiga lokasi berasingan itu, polis merampas dadah jenis heroin sebanyak 18.62 kilogram (kg); ketamin (52.7 gram); 200 biji pil ektasi dan 2,400 biji pil eramin 5.

PULAU PINANG – Polis negeri ini berjaya melumpuhkan tiga sindiket dadah dalam tempoh seminggu lalu membabitkan nilai rampasan kira-kira RM300,000.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan, dalam serbuan di tiga lokasi berasingan itu, polis merampas dadah jenis heroin sebanyak 18.62 kilogram (kg); ketamin (52.7 gram); 200 biji pil ektasi dan 2,400 biji pil eramin 5.

Katanya, turut ditahan adalah lima suspek termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 47 tahun yang kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan dipercayai untuk memproses dadah dan sebuah motosikal serta kereta yang dianggarkan bernilai RM71,600.

“Bermula awal tahun ini hingga hari ini juga, kita sudah berjaya melumpuhkan sindiket dadah di negeri ini membabitkan nilai RM13 juta.

“Kita akan mempergiatkan usaha membanteras sindiket dadah ini yang terus menjadikan negeri ini sebagai pusat operasi mereka dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pergerakan mencurigakan berkaitan dadah di kawasan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis kini sedang giat memburu seorang lelaki India, T. Prasad, 36, yang melarikan diri ketika cuba ditahan polis di Jalan Maccalum di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, tambahnya, suspek dikesan sepasukan polis peronda memandu dalam keadaan berbahaya sehingga melanggar beberapa buah kenderaan lain.

Malah, kata beliau, suspek juga cuba melanggar anggota peronda ketika ditahan menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan Proton Waja yang dinaiki suspek.

“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan keretanya ketika tiba di jalan mati di Lebuh Carnavorn di sini.

“Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan beberapa peralatan menghisap dadah selain sebilah parang panjang dan suspek juga mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah selain satu rekod jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette