petrol
Gambar fail: Stesen minyak Petronas

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia bagi Mei dijangka meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.4 peratus pada April, terutama disebabkan kenaikan harga bahan api runcit yang lebih pantas, kata RAM Rating Services Bhd.

Peningkatan inflasi bahan api runcit sebanyak 5.1 peratus pada Mei, berbanding penguncupan 0.3 peratus pada April, sebahagian besarnya disebabkan kesan asas yang rendah.

Pada Mei 2017, purata harga bahan api RON 95 jauh lebih rendah pada RM2.09 seliter, turun daripada RM2.21 seliter pada April 2017.

Bagaimanapun, pada Mei harga RON 95 kekal tidak berubah pada RM2.20 seliter sejak Mac dan dijangka kekal pada paras ini berikutan pengenalan semula subsidi.

“Oleh itu, tekanan inflasi daripada komponen bahan api runcit juga dijangka meningkat pada Jun dan Julai apabila kesan asas yang rendah daripada tahun lalu meningkat,” kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penyelidikan, Kristina Fong berkata, ketidakpastian kekal pada keseluruhan prospek inflasi bagi 2018 ketika lebih banyak langkah dasar diperkenalkan oleh pentadbiran baru, dengan perubahan sistem cukai daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang paling relevan bagi anggaran tahun penuh.

Beliau berkata, walaupun langkah mengenakan GST pada kadar sifar yang berkuatkuasa pada 1 Jun dijangka dapat mengurangkan tekanan inflasi keseluruhan, pengenalan semula SST mungkin sedikit sebanyak, mengimbangi kesan deflasi daripada GST.

Ini tertakluk kepada kadar cukai dan liputan akhir apabila rejim SST dilaksana pada September.

“Kami akan mengawasi perkembangan rejim tersebut untuk menilai kadar inflasi setahun penuh yang dijangka pada 2018.”

“Dengan mengekang impak pelaksanaan SST buat masa ini sehingga butiran lebih pasti diperoleh, inflasi keseluruhan setahun penuh dijangka memurata pada 1.6 peratus,” kata Fong.

Menurutnya, jangkaan RAM didasarkan pada pengenalan semula subsidi bahan bakar, harga yang lebih rendah di tengah-tengah penarafan sifar GST dan trajektori pertumbuhan harga makanan yang lemah.

— BERNAMA