Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng hanya layak memikul tugas Menteri Perikanan.

Itu sinis kenyataan Unit Komunikasi Strategik Ibupejabat UMNO terhadap sikap Menteri Kewangan itu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, Guan Eng sejak menyertai kabinet lebih banyak mencungkil apa shaja kesalahan kerajaan Barisan Nasional sehingga fungsi sebenar portfolio kewwangan tidak dijalankan.

“Malah Guan Eng bangga dengan pendedahan demi pendedahan yang dibuat di samping menyuruh seorang demi seorang ketua pegawai eksekutif serta pengarah banyak syarikat berkaitan kerajaan meletak jawatan.

“Kit Siang (bapanya) pula menyokong langkah ini dan bersetuju dengan Tun Mahathir Mohamad di dalam politik dendamnya terhadap BN khasnya UMNO,” kata kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, selepas memaklumkan kepada rakyat betapa Pakatan Harapan tidak dapat menunaikan manifesto pilihanrayanya dalam tempoh 100 hari seperti yang dijanjikan, mereka cuba mengalih perhatian rakyat dengan mendakwa wujudnya banyak lagi kepincangan BN yang perlu dibongkar.

“Mereka juga terlalu ingin menyalahkan kerajaan terdahulu dengan mengizinkan siasatan semula ke atas kes Altantuya Shariibuu dan Tan Beng Hock kerana ia memberi platfom politik dan diplomatik yang kuat.

“Mereka tidak langsung memikirkan untuk membuka semula kes-kes lain yang mungkin tidak mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah.

“Mereka sebenarnya tidak peduli dengannya, dan hanya merujuk kepada kes berprofil tinggi.

“Kenapa Kit Siang tidak menyentuh langsung tuntutan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai peristiwa Memali, skandal tukaran asing (Forex), dakwaan Tun M mempunyai simpanan RM83 bilion di luar negara, kekayaan tiga anak Tun M dan lain-lain? ,”soalnya.

Yang ironiknya, kata kenyataan yang sama, kenapa siasatan kes rasuah ke atas Guan Eng dianggapnya ‘tiada kes’ dan perangkap politik kerajaan BN?

“Kenapa tidak disiasat sepenuhnya sedangkan kes itu seakan-akan sama dengan kes Dr. Mohamad Khir Toyo?

“Adakah kes itu akan digugurkan setelah mereka menguasai sistem kehakiman dengan pemecatan Ketua Hakim Negara, hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan, di samping menukar bos SPRM dan lain-lain?” soalnya.

Menurutnya,Menteri Kewangan sepatutnya memikirkan formula yang berkesan untuk meningkatkan semula ekonomi negara dan menarik semula keyakinan pelabur asing.

“Dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hilang RM6 bilion dalam pelaburan ekuiti di Bursa Malaysia sejak PH membentuk kerajaan dua bulan lalu, adakah ia memadai untuk mencari siapa di belakang skandal 1MDB?

“Apa usaha Guan Eng dan penasihatnya di dalam Kementerian Kewangan seperti Tony Pua untuk melonjakkan semula pasaran saham di Bursa Malaysia yang menyaksikan penarikan keluar modal asing yang begitu besar, serta kejatuhan nilai ringgit yang kini melepasi paras RM4 bagi satu dolar Amerika?

“Sudut ekonomi, boleh ke tak wang kutipan ‘sedekah’ Tabung Harapan digunakan untuk melunaskan hutang kerajaan yang didakwanya melebihi RM1 trilion?,” soalnya lagi.- MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast