Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar dalam perbekalan padi dan barangan pertanian termasuk peranan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Peranan jawatankuasa itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub akan berkisar kepada isu penamatan monopoli syarikat itu dan merangka model baharu.

“Kabinet setuju upaya isu penamatan monopoli Bernas ini dikaji dan akan keluarkan satu model selepas tamatnya konsesi pada 2021.

“Ini berdasarkan manifesto PH di mana kami janjikan untuk tamatkan monopoli Bernas,” katanya dalam sidang media di Lembaga Pertubuhan Peladang, hari ini.

Isu Bernas timbul apabila Salahuddin menjelaskan monopoli Bernas dalam pengeluaran beras akan dikurangkan ketika beberapa pihak tampil menyarankan agar monopoli syarikat tersebut ditamatkan.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, kerajaan akan menamatkan monopoli berkenaan kerana ia telah dimasukkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Menurut Salahuddin, jawatankuasa itu akan dipantau oleh jawatankuasa induk yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama menteri lain.

Mereka ialah Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkifly Ahmad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fong; Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, selain Salahuddin sendiri.

Jawatankuasa induk berkenaan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau tiga jawatankuasa yang akan membuat laporan berhubung model baharu untuk dibentangkan kepada Kabinet.

“Pihak kementerian tubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa ini, yang kesemuanya akan menyiapkan laporan pada pertengahan Julai dan dibentangkan kepada Kabinet pada Ogos ini,” katanya.  – MalaysiaGazette