Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok yang dilaporkan kurang berminat terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan berkemungkinan akan diberi peranan sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam Kabinet baharu yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja.
Teresa Kok di antara menteri yang dilantik dalam barisan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok yang dilaporkan kurang berminat terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan berkemungkinan akan diberi peranan sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam Kabinet baharu yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja.

China Press melaporkan, senarai Kabinet sudah tersedia dan tengah menunggu perkenan Yang Dipertuan Agong.

Menurut akhbar itu, Khalid Samad daripada Amanah dijangka mengisi jawatan Menteri Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Teresa yang kurang berminat.

Seorang lagi pemimpin Amanah iaitu Mujahid Yusof Rawa pula berkemungkinan akan dilantik sebagai Menteri Luar.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dijangka diberi portfolio hal ehwal Sabah dan Sarawak sementara Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Pemenang kerusi Parlimen Bakri daripada DAP yang mempunyai kelulusan tinggi, Yeoh Bee Yin dijangka akan diberi portfolio berkenaan sains.

Parti Warisan Sabah pula dilapor bakal mempunyai tiga menteri Persekutuan iaitu Darrell Leiking memegang portfolio perdagangan antarabangsa, Liew Vui Keong pegang portfolio undang-undang sementara dan Datuk Mohamadin Ketapi dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk PKR pula, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dilapor akan menjadi Menteri Sumber Asli sementara Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan meneraju Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

Sementara itu, Datuk Saifuddin Abdullah juga daripada PKR akan meneraju Kementerian Pendidikan Tinggi.