Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V membaca titah pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang memenangi PRU-14 lalu akan mengangkat sumpah mereka pada 16 Julai semasa sidang pertama Dewan Rakyat dibuka.

Dalam satu kenyataan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat pada Isnin lalu, semua Ahli Parlimen sudah dimaklumkan menerusi notis pemberitahuan mesyuarat tersebut.

“Urusan pertama mesyuarat pada 16 Julai ini adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah ahli Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Istiadat pembukaan penggal pertama, majlis Parlimen Ke-14 akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada keesokan harinya, iaitu 17 Julai pada jam 10 pagi,” kata kenyataan itu.

Siaran media itu turut dikepilkan dengan notis makluman berhubung majlis taklimat ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 yang akan diadakan pada 26 Jun ini pada jam 9.45 pagi. – MalaysiaGazette