KUALA LUMPUR – “Saya tidak menyebut isu berbikini secara khusus. Yang saya nyatakan, walaupun Islam tidak memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian tidak senonoh di tempat awam,”.
Demikian penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berhubung tajuk disiarkan sebuah portal berita bahawa, Pas Terengganu tidak halang pelancong ‘berbikini’.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu berkata, mungkin wartawan yang menemubualnya terkhilaf dengan kenyataan beliau.
“Saya kata, Islam tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam. Contohnya, Islam tidak pernah memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi pastinya mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian yang tidak senonoh di tempat awam.
“Kita mengamalkan konsep Kasih Sayang, iaitu kita akan melihat peraturan sedia ada yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dengan mengekalkannya, jika sudah baik, sebelum mengubah ataupun menambahbaik kepada peraturan baharu, bukannya terus menolak semua yang ada.
“Oleh itu saya menyebut “Setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada”. Kita baharu mentadbir negeri sebulan lebih. Kita tidak akan bertindak gopoh dan gelojoh,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang melaporkan kenyataannya sebagai berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak menghalang pelancong bukan Islam dari dalam atau luar negara untuk melakukan aktiviti pelancongan termasuk ‘berbikini’ di kawasan pulau dan pantai negeri itu.
Beliau dipetik berkata, kerajaan menghormati hak orang Islam untuk ‘berbikini’, walaupun asas perjuangan parti itu ialah memartabatkan agenda Islam.
Mengulas lanjut laporan itu, Mohd Noor menjelaskan, bertindak daripada itu, kerajaan Pas Terengganu sedang menyiapkan Dasar Pelancongan Negeri yang tidak drastik atau menekan pelancong bukan Islam dan bakal memberikan ruang secukupnya kepada mereka menikmati keindahan semula jadi negeri Terengganu tanpa rasa bimbang.
Beliau berharap isu itu difahami oleh dua pihak iaitu golongan yang gopoh untuk melihat perubahan dalam sekelip mata agar jangan menganggap kerajaan Pas Terengganu akan mengabaikan peraturan dan keindahan adab serta golongan kedua yang mahu memburukkan kerajaan negeri supaya bertindak seperti kerajaan ala Taliban.
“Kerajaan negeri akan mendahului sikap toleransi dan dialog. Kerajaan akan bergerak dengan dakwah dan pembangunan insan akan diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette