Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah

KUANTAN – Persidangan khas akan diadakan pada minggu kedua Ogos ini bagi memperhalusi isu berhubung cadangan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beberapa agensi dan jabatan kerajaan berkaitan akan menyertai persidangan khas itu bagi mengkaji dengan teliti aspek teknikal yang menjadi menghalang pelaksanaan cadangan itu sebelum ini.

“KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) serta jabatan yang berkaitan akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagaimana hendak melaksanakannya, memang ada beberapa isu teknikal seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955 yang menjadi kekangan dalam hal ini.

“Selain itu kita akan kaji cara untuk tangani Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan dan kita akan minta pandangan Kementerian Kewangan kerana pelaksanaannya juga melibatkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program Lawatan Turun Padang Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, hari ini yang juga lawatan kali pertama Dr Wan Azizah ke Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Peruntukan di bawah Seksyen 51 Akta KWSP menyatakan tiada amaun yang boleh diserahkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun.

Malah Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan kebimbangan dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian sedangkan ia merupakan satu perkara serius.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baru kita nak bertindak.

“Kita perlu atasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian yang berkenaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes seorang ibu yang mengelar leher anaknya lelakinya berusia 19 bulan yang berlaku di Felda Jengka 13, Maran baru-baru yang dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang terkini melaporkan setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 menderita pelbagai isu kesihatan mental dan ia dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar rakyat di negara ini selepas penyakit jantung. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast