Ahmad Zahid Hamidi
Calon Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melangkah masuk ke bilik berlangsungnya sidang media mengenai pemilihan pemimpin Bahagian UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara 73 calon Ketua UMNO Bahagian yang diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan peringkat bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pemangku Presiden UMNO itu berkata, kemenangan itu membuktikan demokrasi diamalkan UMNO selama ini berjalan dengan kaedah yang baik dan turut membuktikan dasar keterbukaan Majlis Tertinggi (MT) parti untuk membuka ruang kepada semua jawatan ditandingi.

Tanpa menamakan Ketua UMNO Bahagian lain yang menang tanpa bertanding, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 191 bahagian menyaksikan pertandingan semua jawatan iaitu Ketua Bahagian, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.

“Kita akan lihat apakah dari baki 181 bahagian lagi yang akan menang, selain perwakilan yang akan mengundi di peringkat nasional minggu depan (30 Jun),” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Keris di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, terdapat kemeriahan dari segi proses penawaran diri calon sama ada di peringkat bahagian dan nasional dengan menghadiri majlis sambutan Hari Raya serta majlis memperkenalkan diri secara berkelompok.

Katanya, beliau bersama calon telah melakukan lawatan di lima negeri setakat ini dan akan menghabiskan kesemua negeri sebelum hari pemilihan peringkat nasional 30 Jun ini.

Mengenai tindakan parti Gerakan mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid secara ringkas berkata, beliau akan melihat keputusan itu secara teliti selepas mendapat maklumat dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Parti Gerakan mengumumkan keluar BN hari ini, setelah mengambil kira suasana politik semasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Gerakan berkata, sentimen dan maklum balas akar umbi juga diambil kira dalam membuat keputusan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO kerana mahu meneruskan kesinambungan parti berikutan amanah yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak kepadanya.

Katanya, selepas menerima amanah itu, beliau telah memberikan satu tanggungjawab kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengetuai pasukan khas bagi penjenamaan semula parti selepas kalah teruk pada PRU14 baru-baru ini.

“Saya beri tempoh 30 hari kepada Khairy Jamaluddin untuk melakukan pembaharuan dalam UMNO dan BN. Perubahan ini mesti dilakukan secara kolektif.

“Segala yang perubahan yang dikumpul ini akan dibawa untuk pembentangan atau perbincangan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) atau Perhimpunan Agung Khas khas nanti,” katanya.

Jelasnya, dasar keterbukaan yang diputuskan MT juga adalah sesuatu yang tidak dilakukan sebelum ini, seperti tidak memberi ruang jawatan Presiden untuk dipertandingkan, berbanding pada pemilihan penggal ini.

“Perubahan ini adalah yang baharu yang harus kita lanjutkan pada pemilihan akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast